Kahwin Bajet Rendah

8:00:00 AM

sumber : weheartit


"Sejak 2004 saya seorang jurugambar perkahwinan. Saya bersara dari fotografi perkahwinan kira-kira 3 tahun yang sudah kerana menguruskan pelbagai perniagaan-perniagaan yang ada. Namun, sepanjang tempoh itu, saya pernah berada dalam majlis perkahwinan dengan bajet tak sampai RM3000 dan juga majlis perkahwinan bernilai RM60 Juta (Saya tak boleh nyatakan siapa tapi yang penting bukan perkahwinan yang banyak bunga-bunga tu).


Saya suka nak cerita tentang perkahwinan harga RM3000 tu. Ketika itu, rate saya baru RM1000 untuk 1 majlis. Perkahwinan ini berlaku dengan ringkas sahaja. Si Lelaki dan Si Perempuan bertemu dan suka sama suka. Lelaki itu terus tanya Si Gadis
Lelaki : Nak kahwin dengan saya?
Gadis : Boleh juga 
Lelaki : Tapi low bajet tau
Gadis : Lagi baik.

Maka mereka mengisi borang nikah dan masuk kursus kahwin. Si Lelaki bercerita kepada saya yang dia pergi merisik sendiri Si Bapa Gadis. Nampak macam tidak sopan tetapi sebenarnya bukan niat nak merisik, sebenarnya nak jumpa ibu bapa Si Gadis yang merupakan seorang guru.

Terus terang ditanyakan kepada ibu bapa Si Gadis dengan terus terang yang beliau mahu menikahi anaknya. InsyaAllah katanya beliau mampu untuk menjadi suami yang baik cuma tidak mampu belanja perkahwinan yang mahal. Katanya, tidak guna perkahwinan yang mahal jika selepas kawah telangkup semula, hutang mula mahu dibayar. Tak guna belanja perkahwinan mahal jika masa mengumpul terlalu lama dan bukan sekadar duit berjaya dikumpul, dosa juga makin lama makin terkumpul. Mula-mula dosa kering lama-lama jadi dosa basah.

Katanya, beliau nekad kalau ibu bapa Si Gadis tak setuju, beliau rela jika tidak memperisterikan gadis itu. Rupanya, mudah bagi Si Bapa Gadis menerimanya hanya kerana tidak mahu anak dan bakal menantunya terus menerus mengumpul dosa.

Terus dikatakan kepada Si Lelaki...."Panggillah orang tua-mu bakal menantu-ku"
Maka datanglah ibu bapa Si Lelaki pada keesokannya dengan sebuah kereta. Ibu dan bapa beserta sebuah dulang berisi cincin dan sirih junjung buat sendiri diiring adik beradik dengan pakaian baju melayu dan kurung ringkas tanpa jade dan permata juga lampu liplap blink blink hari raya. Terus hantar tanda maka bertunanglah mereka berdua mengikut adat dan terus ditetapkan tarikh langsungnya sebulan kemudian.

Saya berada semasa pernikahan dan perkahwinan yang berlangsung di Negeri Kedah. Memang mereka pun jenis orang Utara kahwin orang Utara. Cuma lain-lain kawasan sahaja. Pernikahan dibuat di surau berhampiran rumah SI Gadis. Ringkas sahaja tanpa dulang belulang. Maskahwin dan cincin semua dalam 1 dulang. Cincin belah rotan sahaja tanpa solitaire permata dan platinum. Dan cincin itu juga diakad sebagai maskahwin.

Hadiah perkahwinan sekadar telekung, sepasang baju kurung, sirih junjung yang wajar-wajar sahaja. Menariknya, hantaran itu tidak letak atas paha tembaga pun, sekadar dalam dulang biasa sahaja. Si Gadis pula mengenakan solekan sendiri. Ringkas sahaja tanpa lebam mata dan lebam pipi. Sekadar mengenakan sedikti lipstick dan bedak tipis. Baju kahwin katanya baru semalam beli di Mydin yang dah siap.
Sekali lafaz, sah!

Balik terus ke rumah Si Gadis ada 1 khemah sahaja dengan rakan-rakan sekampung terdekat sekitar 100 orang yang datang meraikan. Selepas makan semua beredar dan majlis pun tamat.
Minggu berikutnya Si Lelaki mengadakan doa selamat ringkas di rumahnya dengan ahli qariah tempatan sahaja yang bertamu. Saya pula dijemput sebagai kawan dan saya terpaksa datang kalau tak nanti mahu berpatah arang. Dah lah saya datang sebagai tetamu, dia bagi ayat power "Aku tak harap hadiah apa dari hang pol...hang ambik gambaq aku pun dah sempoi habess".

Aku terjerat. Tapi aku OK sahaja. Aku happy dan aku rasa dia pun bukan ada duit sangat. Pelamin pun pakai sofa dalam rumah, hias lebih kurang itupun untuk buat tempat ambil gambar.

Semasa itu saya masih bujang. Dan saya tanyakan beliau berapa kos perkahwinannya? Dia kata tak habis RM3000. Cincin RM300 (maskahwin), cincin tunang (RM300), belanja kenduri perempuan RM1000 dan belanja kenduri lelaki RM800 dan baki tu beli baju baru.
Dia berjaya inspire saya untuk berkahwin tanpa hutang. Alhamdulillah, saya berjaya kahwin setahun selepas dia kahwin. Ayah Mertua saya bila ayah saya tanya berapa hantaran lalu ayah mertua saya jawab "Itu biarlah anak-anak yang tetapkan...saya terima sahaja".

Lawatan saya yang pertama selepas perkahwinan mereka ialah semasa mereka menetap di Flat Taman Datuk Senu. Minggu lepas saya berjumpa mereka tinggal di Bangi. Si Isteri tidak bekerja kerana menjaga 4 orang anak dan suaminya antara salah seorang Engineer Consultant di firma antarabangsa Oil & Gas di KLCC. Rumahnya besar untuk dia menjaga ibu bapa dan mertua yang selalu bertandang melihat cucu. Dengan gaji RM3,000 sehari beliau masih sederhana dengan sebuah Proton Waja untuk bekerja dan sebuah Toyota Alphard untuk kegunaan keluarga.
Dia bukan kedekut, tapi dia berbelanja berhemah dengan bajet surplus.

Jika orang biasa boleh bertanding terus jawatan Perdana Menteri, saya suka untuk calonkan orang begini menjadi Perdana Menteri. Bukan tidak boleh berbelanja cuma beliau berbelanja pada yang perlu.

Ada saudara terdekat saya kahwin pakai hutang Bank Rakyat. Dah 2 tahun bercerai walaupun masa wedding dulu sweet macam nak nangis tengok video presentation ala-ala Hollywood tapi dibayar guna duit loan. Lagi teruk, hutang kahwin masih perlu dibayar ansurannya walaupun sudah 2 tahun bercerai.

Tak salah nak buat grand-grand dengan bajet sebesar 1MDB jika mampu. Setiap orang kan ada kemampuan mereka yang tersendiri. Yang kaya nak merendah itu tak ada salahnya, yang rendah nak meninggi macam Si Kaya itu yang akhirnya dikejar hutang.

Ukur baju badan sendiri. Jangan ikut orang lain. Perkahwinan sebenarnya mudah cuma kita ni sahaja yang takut sangat hilang status sosial. Bila sebut pasal kahwin soalan berapa tetamu? berapa khemah? berapa dulang? di ballroom mana? designer mana? hire saiful nang ke? dan banyak lagi untuk status sosial semata.

Rahsiakan pertunangan dan umumkan pernikahan walaupun dengan seekor kambing - hadith.
Dalam Islam, mudah sahaja. 
Kita yang buat jadi susah. 
Dalam islam rukun nikah ada 5 sahaja.
Busana Rizalman, fotografer Saiful Nang, venue Garden, kenduri 25 khemah semua itu bukan rukun nikah.
Jodoh terbaik anda ialah mereka yang mengutamakan pernikahan berbanding status sosial dalam perkahwinan.
Selamat mencuba! "
SAIFUL NANG

sumber : fb fanpage Saiful Nang

You Might Also Like

2 comments

  1. Setuju, ukur baju dibadan sndri..... skunk ni nak majlis vouge sampai wat loan bagai suadahnya dah beranak pinak pun hutang xlangsai.........;-(

    ReplyDelete
  2. Pada sy...buat ikut kemampuan....yang ptg akad nikah...yang lain dari itu....ikut mn yg mmpu...cuma masyarakat kita nih...bila bajet...sebok nk komen itu ini...mcm bersalah pulak...tp biar la org nk kata apa...aslkan kita hidup tidak diselubungi hutang...

    ReplyDelete

Featured Post

Followers